picture

 

PENGENALAN


Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) yang dahulunya terletak kira-kira 300 meter dari Pusat Bandar Mukah Lama merupakan sebuah agensi Kerajaan Tempatan yang diberi kuasa untuk mentadbir kawasan-kawasan yang diperuntukkan dibawahnya berdasarkan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 1971). Ini bertujuan agar setiap daerah lingkungan Majlis ini akan dapat menikmati pembangunan yang seiring dengan bandar-bandar lain di negeri Sarawak khasnya dan di Malaysia amnya. Bermula 1 Oktober 2011, Majlis Daerah Dalat dan Mukah telah berpindah dan beroperasi di Pusat Pentadbiran Baru Bahagian Mukah, SCORE, dengan 2 cawangan iaitu di Daerah Dalat dan di Daerah Kecil Balingian.


Dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis atau lebih dikenali dengan panggilan Walikota Majlis Daerah Dalat Dan Mukah yang dilantik secara langsung oleh Parti Politik, beliau ditugaskan menurut Local Authorities Ordinance 1996 Seksyen 12 ( 1 ) bertanggungjawab dalam mempengerusikan pelbagai Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Majlis yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis (Council Councillors). Walikota MDDM untuk Sesi 2019 - 2022 adalah YBhg. Tn. Hj. Kadir Bin Hj. Jamil.

MDDM diketuai oleh Setiausaha Majlis selaku Pegawai Tadbir Majlis yang dilantik oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak dan dipersetujui oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak menurut syarat-syarat Perkhidmatan Kuasa Tempatan Peraturan 1955 (Local Authority-Terms of Service) 1955 di bawah Seksyen 35 & Seksyen Kecil 1(c) Ordinan Kuasa-Kuasa Tempatan 1955, telah dimansuhkan, tarikh mulai berkuatkuasanya Ordinan di atas pada 30 Mei 1996. Setiausaha MDDM yang terkini adalah En. Abdul Razak BinAwang Bini.

Bahagian Mukah pada amnya seluas 6,997.6 km/segi dengan  populasi 110,024 penduduk (SPU 2012). Berbekalkan kawasan peruntukan pembangunan seluas kira-kira 3,588.76 km/segi (Mukah-1,366.00km/segi, Dalat-905.29km/segi, Balingian-1,170.00km/segi & Oya-147.47km/segi), pelbagai bentuk perubahan telah dilakukan semenjak seawal penubuhan Majlis ini. Sehingga kini, seramai 70,334 orang penduduk (SPU 2012 :  Mukah & Balingian-46,182, Dalat & Oya-24,152) pelbagai kaum, bangsa, agama dan budaya dalam kawasan lingkungan MDDM dapat menikmati pembangunan berterusan.

Terdapat tiga buah tempat utama bidang kuasa MDDM yang mana ibu pejabat Majlis ini sendiri terletak di Bandar Mukah dengan dua lagi cawangannya bertempat di kawasan cawangan masing-masing iaitu, Majlis Daerah Dalat dan Mukah Cawangan Dalat serta Majlis Daerah Dalat dan Mukah Cawangan Balingian.

Majlis Daerah Dalat dan Mukah menyediakan pelbagai perkhidmatan asas seperti merancang dan melaksanakan projek-projek pembangunan Bandar Mukah, Daerah Dalat termasuk Daerah Kecil Oya dan Pekan Kecil Balingian. Selain dari itu, MDDM juga menyediakan perkhidmatan menilai dan memungut cukai taksiran, menyediakan perkhidmatan perpustakaan kepada masyarakat, pengurusan serta pengurusan sisa-sisa pepejal.

Perkhidmatan lain yang disediakan oleh MDDM ialah seperti pengeluaran, pembatalan dan penahanan pelbagai lesen, permit serta sijil kependudukan bagi mengawal aktiviti perniagaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat terjamin serta seliaan aktiviti berjual/bertamu harian dan berjual secara bermusim semasa keramaian/pesta.

Di samping itu, pihak MDDM juga menyediakan perkhidmatan kaunter bagi tujuan pembayaran dan aduan, kawalan penyakit berjangkit atau merebak serta pengindahan alam sekitar (landskap) di sekitar kawasan naungan Majlis Daerah Dalat dan Mukah.

Pendek kata, Majlis Daerah Dalat dan Mukah menyediakan perkhidmatan yang lebih selesa dan mesra kepada penduduk tempatan serta menjalankan kewajipan dengan lebih adil, bersih, cekap, amanah dan berkualiti dari semasa ke semasa.