
MUKAH - PERHIMPUNAN TAHUNAN MDDM - TINGKATKAN PENYAMPAIAN MAKLUMAT DAN KECEKAPAN PERKHIDMATAN
Pada 14 Oktober 2026 (Rabu) Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) telah mengadakan Perhimpunan Tahunan MDDM bertempat di Bilik Persidangan Utama, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Mukah, melibatkan semua kakitangan MDDM.
Perhimpunan yang menghimpunkan kakitangan MDDM ini dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan nyanyian penuh bersemangat Lagu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) – Berkhidmat Penuh Bangga, diikuti bacaan doa oleh En. Izaat dan Ikrar Integriti yang diketuai oleh En. Hamid.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan serta amanat yang padat daripada Ketua Jabatan, Setiausaha MDDM, Encik Bilong anak Engkas. Beliau memberi amanat yang cukup bersemangat dan bermakna sebagai pemangkin kepada setiap kakitangan untuk menjalankan tugas. Sesi taklimat diteruskan oleh En. Jefri yang memberi penerangan tentang penambahbaikan pekeliling kemudahan bertugas rasmi bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak yang telah dikeluarkan pada bulan Ogos yang lalu.
Pengisian lain ialah taklimat mengenai kemudahan pendigitalan perkhidmatan yang disediakan di Laman Web Rasmi MDDM dan SCS Mobile+ oleh En. Aiden, diikuti oleh taklimat kemudahan cuti dan perubatan, serta informasi berkaitan pentadbiran dan pengurusan sumber manusia serta oleh Cik Siti Hazlin. Selain itu, taklimat daripada Ahli Khidmat Sokongan Pekerja (SCS-KSP) Perkhidmatan Awam Sarawak turut disampaikan oleh En. Ramjee bagi memberikan pendedahan dan maklumat berkaitan kemudahan serta sokongan kepada warga perkhidmatan awam.
Penganjuran perhimpunan ini menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat terkini, meningkatkan kesedaran terhadap dasar dan kemudahan perkhidmatan awam, serta memperkukuh komunikasi antara pihak pengurusan dengan warga kerja MDDM. Di setiap taklimat/perkongsian, kakitangan diberi peluang untuk bertanya soalan serta meluahkan pandangan dan buah fikiran.
Diharapkan perkongsian maklumat dan pengisian yang disampaikan melalui perhimpunan ini dapat meningkatkan pengetahuan, komitmen dan profesionalisme warga MDDM dalam melaksanakan tanggungjawab serta memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.
MAJLIS DAERAH DALAT DAN MUKAH
Berkhidmat Untuk Kemajuan