Berita

 

Selamat Bercuti Dan Selamat Bersara Kepada En. Hamdani Bin Mohamad

Disiarkan pada 15 May 2026
Sumber Berita: Bahagian Khidmat Pengurusan & Bahagian Kesihatan dan Perkhidmatan Bandar
Selamat Bercuti Dan Selamat Bersara Kepada En. Hamdani Bin Mohamad
MUKAH - Hari ini 15 Mei 2026 adalah hari terakhir bagi Encik Hamdani Bin Mohamad bertugas di Majlis Daerah Dalat & Mukah (MDDM). Beliau selepas ini akan mula bercuti sebelum bersara wajib pada 7 Oktober 2026, setelah menabur bakti penuh setia kepada MDDM selama 36 tahun. Sepanjang perkhidmatan bersama MDDM, beliau pernah mewakili Malaysia sebagai peserta ke Training Course For Health Futurist - Development Of Global Health Officer di Yokohama International Centre, Jepun pada 30 Ogos 2005 - 30 September 2005. Seramai 12 orang delegasi dijemput khas dari pelbagai negara dengan Malaysia menghantar 2 wakil. 

Beliau adalah Bendahari Kelab MUDAK yang paling lama menabur bakti iaitu selama 7 penggal. En. Hamdani ditauliahkan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong Malaysia sebagai Leftenan Muda pada tahun 2000 dan berkhidmat penuh bakti selama 20 tahun. Beliau kini adalah Ahli Seumur Hidup Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak. Sepanjang perkhidmatan 36 tahun sejak mula bertugas di MDDM pada tahun 1990, beliau telah menerima Pingat Perkhidmatan Setia (Negeri Sarawak), Pingat Perkhidmatan Setia (Angkatan Tentera Malaysia) dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (Negeri Sarawak).

Beliau seorang yang mesra dan sangat aktif dalam pelbagai aktiviti, turut dilantik sebagai Setiausaha Surau Darul Hijrah SPS Kuala Lama, Mukah (2003-Sekarang). Sumbangan En. Hamdani di luar bidang tugas hakiki (MDDM) lain yang paling besar adalah sebagai orang yang berperanan penting dalam menubuhkan Markas Tetap Batalion 2 Rejimen 510 Askar Wataniah pada tahun 2005. Markas Kompeni Bravo Mukah beralamat di Kuarters No. 23 Jalan Hj Mohd Pauzi, 96400 Mukah telah dibuka secara rasmi pada tahun 2006 dan kekal sehingga sekarang. Segala jasa dan bakti beliau kepada MDDM dan masyarakat di Daerah Mukah akan sentiasa diingati. Seluruh warga MDDM mengucapkan Selamat Bercuti dan Selamat Bersara. Semoga Encik Hamdani akan bersara dengan ceria di samping keluarga tersayang.