Polls
Announcements

Berita

Kempen Tandas Bersih 2021
Tarikh : 12 Jul 2021
 

MUKAH - Majlis Daerah Dalat & Mukah (MDDM) melancarkan Kempen Tandas Bersih 2021 dengan slogan Tandas Bersih, Komuniti Sejahtera. Kempen ini bertujuan untuk mengingatkan masyarakat mengenai amalan penjagaan tandas yang baik dan bersih dan seterusnya meningkatkan imej kebersihan tandas awam di bawah seliaan MDDM.

MDDM positif dalam usaha menyedarkan masyarakat mengenai amalan penjagaan kebersihan tandas yang baik, selain mengingatkan masyarakat mengenai krisis sanitasi di sesetengah negara yang kurang maju.

Hasil kajian Professor Jenna Davis daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Stanford Amerika Syarikat, menunjukkan kira-kira 40% (2.6 Bilion) populasi dunia masih tidak mempunyai akses kepada kemudahan tandas asas. Di Malaysia, semenjak negara mencapai kemerdekaan, Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan setiap isi rumah bukan sahaja mempunyai tandas malahan dilengkapi sistem pembentungan yang baik serta berupaya memastikan pengendalian sisa-sisa pembentungan secara bersih dan selamat.

MDDM akan terus komited menjalankan aktiviti Kempen Tandas Bersih ini bagi menyemai dan mengingatkan masyarakat untuk mengikis sikap pentingkan diri sendiri semasa menggunakan tandas awam serta memastikan penjagaan kebersihan tandas dan mengamalkan etika penggunaan tandas yang betul. Kempen Tandas Bersih ini pasti akan membuahkan hasil yang memberangsangkan sekiranya semua pihak termasuklah Ahli Majlis, NGO serta penduduk setempat bersatu bagi menyokong kempen ini.